...Baik itu datangya dari Allah SWT, buruk itu dari diri sendiri...: (Tazkirah) : Tanggungjawab Anak Kepada Kedua Ibu Bapa
(Tazkirah) : Tanggungjawab Anak Kepada Kedua Ibu Bapa
Sahabat yang dikasihi Allah,
Dari mana asal kita? Tidak lain dari keturunan ibu dan bapa. Begitulah satu renungan besar yang mesti terpahat di dalam sanubari. Betapa susahnya si ibu membawa kandungan berbulan-bulan(kalau kembar lagila..), saat melahirkan penentuan antara hidup dan mati, menyusukan dan membesarkan dan mendidik kita, bapa pula bersusah payah mencari rezeki dan menyara keluarga. Terlalu besar jasa dan pengorbanan mereka berdua dan kita tidak akan mampu membalasnya.
Abu Laith Samarqandi meriwayatkan bahawa datang seorang pemuda berkata kepada Rasulullah s.a.w, "Ya Rasulullah, ibu saya sakit di tempat saya, maka sayalah yang memberi makan dan minum. Tangan sayalah yang mewudhukkan mereka, mengangkat di atas bahu saya. Apakah dengan itu terbalas jasa-jasa mereka?"
Jawab Nabi s.a.w yang bermaksud, "Belum satupun dari jasa-jasa mereka! Cuma kau telah berbuat baik, dan Allah akan memberi pahala yang besar terhadap amal kau yang sedikit itu."
Sahabat yang dimuliakan,
Untuk menjadi anak yang soleh dan solehah, kita semestinya berbakti semaksima mungkin kepada kedua ibu dan bapa. Hormatilah dan dengarlah nasihat mereka, sekiranya pilihan hati kita tidak direstui oleh ibu bapa , utamakanlah pendapat mereka kerana keredhan Allah bergantung kepada keredhaan ibu bapa. Janganlah menjadi anak yang derhaka, sesungguhnya anak yang derhaka tidak akan mencium bau Syurga.
Nabi s.a.w. pernah bertanya kepada para sahabat sebanyak tiga kali: “Mahukah aku memberitahu kalian tentang dosa yang paling besar?” Maka mereka (para sahabat) pun menjawab: “Sudah tentu wahai Rasulullah.” Baginda menjelaskan: “Syirik kepada Allah, derhaka kepada ibubapa (perawi menerangkan bahawa baginda ketika itu duduk sambil bersandar, lalu menyambung) dan sumpah yang palsu.”
(Hadis riwayat Imam al-Bukhari)
Lihatlah bagaimana dosa menderhaka kepada ibubapa ini diletakkan dalam satu kategori bersama dosa mensyirikkan Allah s.w.t. iaitu dosa yang paling keji di atas muka bumi ini. Di sisi lain Allah s.w.t.. berfirman maksudnya : “Dan hendaklah kamu beribadat kepada Allah dan janganlah kamu sekutukannya Dia dengan sesuatu apa jua; dan hendaklah kamu berbuat baik kepada kedua ibubapa.”
(Surah al-Nisaa’ ayat 36)
Di dalam ayat ini setelah Allah memerintahkan hamba-Nya untuk mengtauhidkan-Nya dan mengerjakan ibadat kepada-Nya, Allah s.w.t. turut menyuruh hamba-hamba-Nya agar menjaga kedua ibu bapa mereka dengan baik. Dalam ertikata lain seseorang itu tidak dianggap memiliki kemantapan iman serta ibadatnya juga belum dianggap sempurna selagi dia tidak berbuat baik kepada orang tuanya.
Keredhaan Allah s.w.t. terhadap hamba-Nya juga bergantung kepada bagaimana seseorang itu menjaga hal ehwal ibu bapanya.
Rasulullah s.a.w. bersabda maksudnya :“Keredhaan Allah terletak pada keredhaan ibubapa manakala kemurkaan Allah terletak pada kemurkaan ibubapa.” (Hadis riwayat al-Tirmidzi )
Firman Allah s.w.t.yang bermaksud :"Dan kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung kelemahan demi kelemahan (dari awal mengandung hingga akhir menyusunya) dan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa dua tahun;(dengan yang demikian) bersyukurlah kepada-Ku dan kepada kedua ibu bapamu; dan (ingatlah), kepada Akulah jua tempat kembali (untuk menerima balasan)."
(Surah al-Luqman ayat 14)
Berurusanlah dengan mereka dengan berendah hati untuk mengelak membantah dengan suara keras. Membentak sekalipun dengan satu perkataan umpama 'cis' menguris hati mereka. Tanyalah mana-mana orang tua dan mula lemah anggota kerana ketuaan, bantahan anak memang memilukan hati. Hati orang tua cukup sensitif.
Allah menjadikan orang tua lazimnya bersifat pengasih dan penyayang, lebih-lebih lagi orang tua yang sangat manis beribadat. Mereka suka melihat kelakuan anak yang sopan terhadap mereka, mengambil berat tentang mereka, dan menjadi kawan bicara mereka. Tugas seumpama itu tidak berat. Usahlah kesibukan membuat kita abaikan mereka. Jika berjauhan seringkalilah hubungi mereka melalui telefon tanya khabar, walaupun hanya dua tiga patah perkataan sebenarnya boleh mengembirakan hati ibu bapa. Bila ada masa lapang ambillah cuti dan ziarahlah mereka, sesungguhnya apabila kita membuat hati ibu dan bapa gembira menyebabkan Allah meredhai hidup kita.
Firman Allah s.w.t. yang bermaksud :"Dan hendaklah engkau merendah diri kepada keduanya kerana belas kasihan dan kasih sayangmu, dan do'akanlah (untuk mereka dan berkata): "Wahai Tuhanku. Cucuri mereka dengan rahmat sebagaimana mereka telah mencurahkan kasih sayang memelihara dan mendidikku semasa kecil."
(Surah al-Isra' ayat 24)
Ayat itu menuntut supaya kita membuang sifat besar diri terhadap mereka yang kelihatan lemah atau nyanyuk. Wajib kita rasa rendah di hati. Dituntut pula kita memasukkan do'a terhadap mereka dalam do'a harian kita. Begitulah suci hati kita terhadap ibu bapa saban hari tanpa diketahui oleh mereka.
Sahabat yang dihormati,
Sekiranya ibu bapa kita telah meninggal dunia, kita masih boleh berjasa kepada mereka, iaitu kita berdo'a untuk mereka semoga Allah s.w.t mengampunkan dosa-dosa mereka. Bukan setakat do'a-do'a kita sahaja boleh membantu mereka dialam Barzah, tetapi sedekah, amal jariah dan amal soleh yang kita laksanakan, disamping kita memperolehinya, kedua ibu bapa yang berjasa mendidik kita sehingga kita menjadi anak yang soleh akan mendapat sahamnya. Begitu besarnya rahmat Allah s.w.t. tidak mensia-siakan amal kebaikan yang di buat ketika di dunia ini.
Rasulullah s.a.w. pernah mencela bagi mereka yang memiliki ibu bapa yang telah lanjut usia mereka namun masih tidak mampu untuk memasuki Syurga.
Baginda pernah bersabda maksudnya : “Sungguh hina, sungguh hina, sungguh hina!” Baginda ditanya: “Siapakah wahai Rasulullah (yang hina itu)?” Baginda menjawab: “Orang yang mendapati orang tuanya dalam keadaan tua, sama ada salah seorang atau kedua-duanya, kemudian dia tidak memasuki Syurga.” (Hadis riwayat Muslim)
Kedudukan istimewa seorang ayah dan ibu itu semakin terserlah apabila Rasulullah s.a.w tidak membenarkan seseorang itu melaksanakan satu misi yang besar lagi penting dalam urusan dakwah sekiranya ia bakal mengundang kesedihan kepada ibubapanya atau tidak mendapat keizinan dari mereka. Ketika peristiwa hijrah terdapat seorang sahabat yang telah datang kepada baginda dengan memberi taat setia (bai’ah) untuk turut berhijrah namun perbuatannya ini telah menyebabkan kedua ibubapanya menangis. Maka Rasulullah s.a.w. bersabda kepadanya: “Kembalilah kepada mereka berdua dan jadikanlah mereka berdua ketawa (gembirakanlah mereka) sebagaimana kamu jadikan mereka menangis.”
( Hadis riwayat Imam al-Nasaa’i )
Terdapat juga beberapa amalan kebaikan lain yang boleh kita laksanakan sebagai bakti kita kepada kedua ibu bapa walaupun mereka telah meninggal dunia seperti hadis dibawah.
Seorang dari suku Bani Salimah datang dan bertanya kepada Rasulullah s.a.w, "Kedua orang tuaku telah mati, apakah ada cara untuk aku berbakti kepada mereka?"
Jawab Nabi s.a.w, "Ya, membaca istighfar untuk kedua mereka, melaksanakan wasiat mereka, menghormati sahabat-sahabat mereka, dan menghubungkan keluarga mereka."
Sahabat,
Marilah kita hayati satu kisah dizaman Nabi Musa a.s. seorang anak yang soleh menjadi teman Nabi Musa a.s. di Syurga kerana baktinya kepada ibunya yang telah tua.
Nabi Musa a.s. ingin benar mengetahui siapakah yang akan menjadi temannya di Syurga. Setelah diwahyukan oleh Allah mengenai sifat-sifat lelaki itu, Nabi Musa a.s. terus mencarinya.
Lelaki itu seorang penjual daging dipasar. Setelah menemui lelaki itu, Nabi Musa a.s. menyatakan hasratnya untuk menjadi tetamu lelaki itu beberapa hari. Lelaki itu bersetuju memerimanya.
Sebenarnya, Nabi Musa a.s. mahu melihat apakah amalan yang menyebabkan lelaki itu menjadi temannya di Syurga kelak, Nabi Musa a.s. tetap merahsiakan tujuannya.
Setelah Nabi Musa a.s. memasuki rumah lelaki itu, baginda serta merta dihidangkan dengan sup daging. Sewaktu baginda menikmati sup, lelaki itu masuk kebilik dan keluar mendukung seorang wanita yang sangat tua lalu meletakkan diatas tilam. Lelaki itu menyuapkan sup daging kemulut wanita tua itu hingga kenyang. Selepas makan, lelaki itu menukar pakaian wanita tua tadi yang kotor terkena sup. Dia membasuh pakaian itu di sebuah telaga berhampitan rumahnya.
Agak lama barulah lelaki tadi menemui Nabi Musa a.s.yang sedang memerhatikan perbuatannya. Nabi Musa a.s. bertanya :"Siapakah perempuan tua itu?"
Lelaki itu menjawab dengan suara sayu, "Itulah ibu saya. Dia sekarang ini sudah terlalu tua.Tidak berdaya lagi menguruskan dirinya, sebab itu saya membuat segala-galanya. Maafkan saya kerana tidak melayan saudara makan sebentar tadi."
Nabi Musa a.s. merasa terharu mendengar kata-kata lelaki itu, hatinya berbisik, 'Alangkah besar bakti dan kasih sayang lelaki itu kepada ibunya. Patutlah Allah telah menyediakan baginya Syurga di akhirat kelak.'
Kemudian Nabi Musa a.s. menghampiri lelaki itu dan menerangkan tujuan sebenar baginda ingin menjadi tetamu hari ini, "Saya ingin sangat melihat apakah amalan yang menyebabkan Allah s.w.t. menjadikan saudara teman saya di Syurga kelak."
Sebaik mendengar penjelasan baginda, lelaki itu terus sujud syukur dan terus berazam akan meningkatkan keimanannya kepada Allah serta berbakti kepada ibunya.